Sejarah

SEJARAH UTM READING STATION

  Idea bagi menyediakan persekitaran yang menggalakkan aktiviti membaca adalah ilham dari Naib Canselor UTM, Y. Bhg. Prof. Dato’. Ir.Dr. Zaini bin Ujang. Hasrat ini telah disampaikan kepada pengurusan Perpustakaan Sultanah Zanariah (PSZ) semasa lawatan singkat ke PSZ pada 9 April 2009. Usaha ini diadakan bagi membuktikan kesungguhan Universiti dalam memupuk budaya ilmu di kalangan masyarakat Universiti.

     Majlis pelancaran UTM Reading Station oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim telah disempurnakan di Dewan Jamuan, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim pada 1 Julai 2010. Pembangunan UTMRS adalah bagi menyokong menzahirkan ekosistem intelektual di kalangan masyarakat kampus dan sekitarnya dengan penyediaan bahan bacaan untuk dikongsi bersama.  

   Ditubuhkan pada 4 Mei 2009, UTMRS bermula dengan 16 lokasi di seluruh UTM dan pada 2 Julai 2009 jumlah ini telah meningkat kepada 45 UTMRS. Sehingga April 2010, terdapat 48 UTMRS di UTM Johor Baharu dan 10 buah di UTM International Campus, Kuala Lumpur, menjadikan sebanyak 58 UTM Reading Station di berbagai lokasi tumpuan masyarakat UTM.

   Apa yang menarik bagi koleksi UTMRS adalah ia dibangunkan melalui sumbangan secara sukarela oleh warga UTM.   Langkah ini secara tidak langsung memupuk semangat bahawa UTMRS adalah milik bersama warga kampus.  Kotak-kotak khas untuk menyumbang koleksi buku serta majalah disediakan di Fakulti, Jabatan, Pusat Kecemerlangan, Kolej Mahasiswa serta  di beberapa lokasi strategik di sekitar kampus. 

   Kini, terdapat sebanyak 94 UTMRS yang tidak hanya ada di sekitar kampus UTM Johor Bahru dan UTM International Campus Kuala Lumpur bahkan di beberapa sekolah dan tempat umum di sekitar Johor Bahru.